Monday 20 October 2014

Jangan ambil remeh usaha Sabah keluar Malaysia

KOTA TINGGI: Pemuda PAS Sabah memandang serius terhadap usaha yang cuba mengeluarkan Sabah daripada Gagasan Malaysia.

Perwakilan Pemuda PAS dari Sabah ketika berbahas ucapan dasar Ketua Pemuda PAS Malaysia mengingatkan tindakan ini perlu diberikan perhatian yang khusus semua pihak termasuk PAS sendiri.

"Kami di Sabah sekarang berdepan dengan satu gerakan terang-terang yang cuba mengeluarkan Sabah daripada Malaysia.

"Usaha ini amat serius dan perlu diberi perhatian kerana ia bukan lagi diperingkat rancang tetapi sudah sampai ke peringkat antarabangsa," ucap beliau pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali ke-55 di Dewan Choon Moi.

Jelas perwakilan Sabah itu lagi, Pemuda PAS Sabah menentang tindakan tersebut dan akan menghalang usaha mengeluarkan Sabah dari Malaysia.

"Alasan untuk keluar dari Malaysia ini adalah kerana layanan berat sebelah dari soal pembangunan jika dibandingkan Sabah dengan negeri-negeri lain di semenanjung.

"Kita telah 57 tahun merdeka dan 51 tahun di dalam Malaysia tetapi pembangunan di Sabah jauh ketinggalan, malah menyamai zaman sebelum merdeka," ucap beliau.

Tambah beliau, walaupun Sabah merupakan penyumbang kepada ekonomi negara, namun hasil yang diberikan kepada negeri itu tidak dapat menampung untuk pembangunan Sabah.

"Kerajaan Pusat menganaktirikan Sabah dan menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati, berusaha mengeluarkan Sabah dari Malaysia.

"PAS perlu bertindak bagi memastikan usaha ini gagal, kami tidak mahu Sabah keluar dari negara yang kita cintai," sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/9/2014

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...