Thursday 23 October 2014

Mendirikan Semula Negara Sabah dan Negara Sarawak

KOTA MARUDU: "Persekutuan Malaysia wujud atas persetujuan dan perjanjian bahawa setiap negara anggota bekerjasama dari segi politik, ekonomi, dan sosial. Setiap negara ini mempunyai entiti masing-masing. Negara ini mempunyai individualiti. Inilah yang dinamakan konfiderasi," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk memulihkan status Sabah sebagai negara dalam Persekutuan Malaysia serta menuntut hak-hak Sabahan.

2. Semasa perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963, hanya Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka (31/8/1957), sementara Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) masih jadi tanah jajahan atau koloni British, manakala Singapura pula separa tanah jajahan kerana 3 Jun 1959 Singapura mencapai status berkerajaan sendiri.

3. Borneo Utara (Sabah) mencapai kemerdekaan pada 31/8/1963 Sarawak pula merdeka pada 22/7/1963. Dengan merdekanya kedua-dua wilayah Borneo ini, maka sahlah negara ini menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.

4. Perjanjian Malaysia merupakan perjanjian antarabangsa (international treaties) yang ditandatangani oleh negara merdeka dan berdaulat, sepatutnya perjanjian itu ditandatangani semula selepas kedua-dua negara Borneo itu mencapai kemerdekaan, tetapi itu tidak dilaksanakan.

5. Apabila Perjanjian Malaysia itu tidak ditandatangani semula, timbul isu perjanjian tersebut tidak konsisten dengan peraturan antatabangsa. Jika ini berlaku, maka perjanjian tersebut tidak sah.

6. Ketika proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 diisytiharkan, didapati bahawa konsep konfiderasi seperti yang dipersetujui lebih awal telah bertukar menjadi federasi, iaitu Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia. Ini tidak konsisten dengan persetujuan asal.

7. Apabila Proklamasi Malaysia 16 September 1963 tidak konsisten dengan persetujuan asal, maka ini menimbulkan implikasi Sabah dan Sarawak sebenarnya ditipu apabila proklamasi Malaysia tidak konsisten dengan apa yang dipersetujui, iaitu daripada konfiderasi kepada federasi.

8. Perjanjian Malaysia 9/7/1963 tidak dipatuhi seterusnya apabila Singapura disingkirkan pada 9/8/1965 tanpa melibatkan perundingan dengan Sabah dan Sarawak.

9. Perlembagaan Persekutuan tidak konsisten dengan perjanjian Malaysia 9/7/1963, walaupun Perlembagaan Persekutuan dipinda tetapi terma dan syarat perjanjian Malaysia tidak dipinda kerana perjanjian itu didaftarkan di PBB. Ini bermakna sekiranya regim Malaya masih tidak menghormati dan mematuhi persetujuan asal, Sabah dan Sarawak tidak ada cara lain untuk memulihkan keadaan, selain mendapatkan keadilan antarabangsa.

10. Awal bagi proses mendapat keadilan antarabangsa itu ialah mendapat perhatian PBB melalui petisyen di PBB. Kini perjuangan ini maju setapak lagi apabila 2 petisyen sudah diterima PBB, iaitu:
a. Call for Sabah Sarawak Rights
b. People's Petition to United Nations to Seek Self-Determination for Sabah and Sarawak.

11. Petisyen ini harus berjaya didengar oleh PBB. Petisyen langkah terbaik untuk mendesak regim Malaya menghormati dan melaksanakan terma dan syarat penubuhan Malaysia.

12. Berdasarkan situasi ini negara Sabah dan Sarawak boleh dipulihkan (restore) semula. Mari kita teruskan perjuangan yang benar ini. Nelson Mandela pernah berkata, "It always seem impossible until is done.'

13. Lambat atau cepat, Persekutuan Malaysia harus distrukturkan semula dengan kembali kepada persetujuan asal, iaitu dengan memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara. Ini bermakna dalam Persekutuan Malaysia itu ada tiga negara, iaitu negara Malaya, negara Sarawak, dan negara Sabah.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
22 Oktober 2014

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...