Saturday 15 November 2014

Sepatutnya Ada 3 Perdana Menteri Dalam Persekutuan Malaysia

KOTA MARUDU: "Persekutuan Malaysia yang ada sekarang harus distrukturkan semula seperti mana semangat dan intipati persetujuan asal penubuhan Malaysia, iaitu setiap negara anggota merupakan entiti yang berasingan dan mempunyai individualiti masing-masing," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK).

Perjanjian Malaysia 1963 harus dihormati seperti mana persetujuan asal penubuhan Malaysia yang terdiri daripada empat negara yang terlibat, iaitu Malaya, Singapura, Sabah, dan Sarawak. Tetapi pada 9 Ogos 1965, Singapura disingkirkan dari Persekutuan Malaysia, menjadikan negara yang menganggotai Persekutuan Malaysia tinggal lagi Malaya, Sabah, dan Sarawak.

Menurutnya, status Sabah dan Sarawak sebagai negara harus dipulihkan. Lambat atau cepat matlamat perjuangan ini dicapai, status Sabah dan Sarawak sebagai negara tetap dipulihkan. Apabila Persekutuan Malaysia yang sebenar wujudkan, maka akan ada Tiga Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif bagi tiga negara yang menganggotai Persekutuan Malaysia, iaitu Perdana Menteri Malaya, Perdana Menteri Sabah, dan Perdana Menteri Sarawak.

"Kesedaran Sabahan dan Sarawakian amat penting. Rakyat di kedua-dua negara yang telah diturunkan statusnya ini harus bersatu menuntut hak kemerdekaan. Pulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara dalam Persekutuan Malaysia. Ini bukan soal berpisah dari Persekutuan Malaysia. Kita tidak menyokong sebarang gerakan pemisahan dalam Persekutuan Malaysia. Kita menuntut supaya Persekutuan Malaysia yang sebenar ditegakkan, iaitu setiap negara anggota mempunyai entiti yang berasingan. Ini akan mengukuhkan Persekutuan Malaysia," katanya.

Jebon Janaun
Presiden, 
Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK),
Kota Marudu 
15 November 2014.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...