Thursday 22 January 2015

Jawapan SSKM-SSU(UK) Kepada Ashi Ara

Pihak SSKM-SSU(UK) telah menerima beberapa soalan daripada seorang Generasi Muda Negara Sabah yang bernama Ashi Ara. Soalan-soalannya merupakan satu gambaran kerisauan yang pihak SSKM-SSU(UK) percaya juga timbul dikalangan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Oleh itu, pihak kami telah menyediakan jawapan untuk memberi kefahaman kepada Ashi Ara. Semoga jawapan ini menjawab segala persoalan anda.

Berikut adalah soalan-soalan daripada Ashi Ara berserta jawapan daripada pihak SSKM-SSU(UK):

1. Adakah perjuangan SSKM-SSU(UK) menyeluruh kepada rakyat Sabah tidak kira bangsa (ini sebenarnya merujuk kepada etnik) dan agama? atau hanya majoriti sahaja maksud saya bukan kepada bangsa-bangsa lain contoh bugis, suluk, jawa, butun dsb.

- Ya. Perjuangan SSKM-SSU(UK) adalah menyeluruh. Perjuangan ini tidak memfokuskan kepada sekolompok etnik atau kepentingan mana-mana etnik. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk kepentingan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang yang terdiri daripada Etnik Orang Asal dan Etnik Bukan Orang Asal namun mempunyai semangat SEBANGSA. Sebangsa yang dimaksudkan adalah Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang mempunyai etnik pelbagai hidup dalam satu wilayah yang besar. Wilayah itu dikenali sebagai Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Negara Sabah dan Negara Sarawak tidak akan sesekali mempunyai agama rasmi. Itu adalah MUKTAMAD. Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah BEBAS BERAGAMA. Tiada sesiapa mempunyai hak untuk melarang mana-mana individu daripada menjalani aktiviti kepercayaannya ataupun menukar kepercayaannya. Ini kerana seseorang itu boleh membawa kes kepada Makhamah Awam (Civil Court) untuk menuntut kebebasan Hak Asasi dalam semua perkara termasuk agamanya.

2. Yang nama ibubapanya ataupun keturunan mereka yang bukan asal dari Sabah sedangkan anak-anak mereka lahir di Sabah dan ada juga bumiputera berkahwin dengan bangsa mereka ini. Adakah mereka ini akan dihantar pulang? Atau mereka diberi taraf kewarganegaraan Sabah tapi bukan bumiputera Sabah apabila Negara Sabah dan Sarawak berjaya keluar dari Persekutuan Malaysia.

- Kepada mereka yang bukan berasal daripada Negara Sabah ataupun Negara Sarawak tetapi telah berkahwin dengan Bangsa Sabah ataupun Bangsa Sarawak, tiada halangan untuk mereka tinggal di Negara Sabah atau di Negara Sarawak (bergantung dengan pasangan mereka). Namun, mereka perlu memutuskan sama ada mahu menukar kewarganegaraan ataupun tidak. Contoh kita ambil Negara Sabah, seorang lelaki bangsa malaya telah berkahwin dengan seorang perempuan bangsa Sabah dan telah mempunyai anak-anak yang membesar di Negara Sabah. Anak-anak ini secara automatiknya adalah Bangsa Negara Sabah. Begitu juga dengan si isteri. Untuk si suami, dia tetap berbangsa Malaya (Malaysia) kerana berasal daripada negeri di malaya. Namun, apabila perpisahan ini sudah terjadi, si suami perlu mengambil keputusan muktamad sama ada mahu mengekalkan kewarganegaraannya sebagai Bangsa Malaysia ataupun memilih untuk menukar kewarganegaraannya menjadi Bangsa Sabah. Jikalau si suami enggan menukar kewarganegaraannya, tiada masalah untuknya tinggal di Negara Sabah. Apa yang perlu untuk si suami lakukan ialah memohon passport dan juga sokongan surat perkahwinan agar dia boleh menetap di Negara Sabah dibawah jaminan isterinya dan bekerja (disektor swasta). 

Dalam bidang pekerjaan sektor Kerajaan, mestilah 100% Bangsa Negara Sabah ataupun Bangsa Negara Sarawak. Tetapi mereka yang bukan warganegara Sabah ataupun Sarawak, mereka masih boleh bekerja disektor swasta ataupun berniaga.

Perlu diingatkan bahawa Bangsa dan etnik itu berbeza. Bangsa itu merujuk kepada sejumlah besar rakyat yang mendiami di sesebuah wilayah besar seperti Negara Sabah dan Negara Sarawak. Justeru, mereka yang mendiaminya akan dikenali sebagai Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.

Manakala Etnik itu tetap dikekalkan dan tidak boleh diubah (suku kaum). Contoh untuk di Negara Sabah. etnik Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Suluk dan seterusnya (kategori Orang Asal). Manakala Cina, Bugis, Jawa, Butun, Melayu (Malaya) dan seterusnya (Kategori Orang Bukan Asal). Namun Orang Asal dan Bukan Orang Asal adalah sebangsa dalam satu Negara dan boleh bekerja dalam sektor Pentadbiran Awam Kerajaan. Mungkin kuota itu diperuntukkan kepada 60:40 ataupun 70:30 (cadangan).

3. Di Sabah, banyak bangsa (ini sebenarnya merujuk kepada etnik) yang bukan bumiputera yang merungut sekiranya Sabah Sarawak membentuk negara sendiri sedangkan mereka lahir di bumi Sabah atau Sarawak. Mereka akan jadi apa?

-Sekali lagi, apabila terjadi perpisahan ini, ia tidak akan menjejaskan mana-mana etnik/komuniti malah akan dilindungi lagi. Bukan Bumiputra bermaksud Bukan Orang Asal, mempunyai Hak sebagai rakyat Bangsa Negara Sabah / Bangsa Negara Sarawak dalam menjalankan kehidupan sosial, ekonomi mahupun politik. Tetapi jikalau mereka memilih untuk mengekalkan kewarganegaraan Malaysia (Bangsa Malaysia), mereka adalah terkeluar daripada segala keistimewaan sebagai rakyat Bangsa Negara Sabah atau rakyat Bangsa Negara Sarawak. Mereka akan dikategorikan sebagai Orang Asing ataupun Pelancong. Mereka boleh berada di Negara Sabah dan Negara Sarawak untuk satu tempoh yang ditetapkan. Jikalau berkeluarga dengan rakyat Negara Sabah ataupun Negara Sarawak, mereka perlu mendapatkan jaminan pasangan mereka untuk membolehkan mereka berada didalam Negara yang didiami untuk satu tempoh. Tetapi tempoh tersebut boleh diperbaharui dari masa ke semasa.

4. Bagaimana dengan nasib anak Bini atau Suami mereka? Saya bertanya kepada DJ agar mereka yang tidak menyokong SSKM faham apa sebenarnya matlamat SSKM buat rakyat Sabah dan anak bangsa Sabah.

- Soalan ini sudah dijawab diatas. Jikalau mereka memilih untuk menukar kewarganegaraan kepada kewarganegaraan Sabah ataupun Sarawak (jikalau mereka menetap di Negara Sarawak), mereka dapat menikmati segala keistimewaan sebagai bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak. Jikalau tidak, keistimewaan itu tidak dapat dinikmati namun mereka dapat menikmati keistimewaan warganegara Malaysia di malaya. Pergerakkan dan aktiviti adalah tertakluk dibawah bidang kuasa Imigresen tentang berapa lama boleh menetap, sama ada boleh bekerja ataupun tidak dan sebagainya.

5. Saya mohon DJ memberi pencerahan kepada rakyat NEGARA SABAH SARAWAK agar ada yang tidak terkeliru dengan macai-macai Malaya yang ingin memecah-belahkan perpaduan bangsa di tanah tumpah darah kita ni. Terima Kasih.

- Keadaan apabila Negara Sabah (ataupun North Borneo) dan Negara Sarawak selepas berpisah adalah sama seperti negara-negara luar yang telah merdeka. Mempunyai bidang kuasa Politik, Ekonomi dan Sosial dalam mengurus tadbir negara sesuai dengan kehendak rakyat yang membentuk parti-parti Politik untuk mewakili mereka dalam memimpin Kerajaan. Segala urusan pentadbiran akan diurus oleh rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak tanpa campur tangan kuasa asing.

Segala urusan keselamatan, kesihatan dan pendidikan dibawah kuasa penuh Kerajaan Baru yang mentadbir Negara. Negara Sabah dan Negara Sarawak juga bakal mempunyai satu kerusi masing-masing di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations-UN). Bakal mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar dan juga menjalinkan hubungan perdagangan dan sebagainya.

Semoga penerangan ringkas ini mampu menjawab segala persoalan yang timbul. Perpisahan melalui penamatan dalam Persekutuan Malaysia ini tidak akan sesekali membawa keburukan tetapi adalah kebaikan yang selama ini menjadi keinginan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Semua etnik akan dilayan dengan adil. Perlindungan khas diberikan kepada Orang Asal yang merupakan penduduk asal di Kepulauan Borneo, Negara Sabah dan Negara Sarawak. Sistem Demokrasi dan Keluhuran Perlembagaan akan menjadi Garis Panduan dalam Pentadbiran Negara yang Merdeka dan Berdaulat.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...